PAJSK KPM Rekodkan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan Dan Kokurikulum

PAJSK KPM atau maksud penuh akronim ini ialah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum merupakan rekod penglibatan atau pencapaian murid dalam aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum. Sistem ini dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Murid perlulah aktif dalam aktiviti jasmani dan sukan. Kegiatan kokurikulum di sekolah sekolah merangkumi tiga pecahan utama, iaitu kelab dan persatuan, Pasukan Badan Beruniform dan sukan atau permainan. Pada setiap tahun guru-guru kelas akan membuat pendaftaran dan pengisian data pelibatan daripada pelbagai peringkat.

Melalui pengisian ini, murid akan dapat mengetahui markah PAJSK mereka sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah. Murid dan ibu bapa boleh membuat semakan pencapaian atau markah dalam aktiviti jasmani, sukan dan kurikulum ini melalui guru kelas.

Penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.Hal ini diterangkan dengan jelas melalui Akta Pendidikan 1996 – Seksyen 18 dan 30 (Peraturan-Peraturan Pendidikan Kurikulum Kebangsaan 1997) yang dikuatkuasakan bermula 1 Januari 1998.

Kepentingan aktiviti ini juga setara dengan penyertaan dan pencapaian dalam bidang akademik kerana fungsinya dalam pembentukan modal insan secara holistik merangkumi aspek kognitif, emosi dan psikomotor. Secara ringkasnya, sistem ini akan merekodkan tiga bahagian utama berikut:-

  1. SEGAK
  2. Kokurikulum
    • Kelab Persatuan
    • Unit Beruniform
    • Sukan/Permainan
  3. Ekstra Kurikulum

Markah PAJSK Sekolah Rendah dan Menengah

Portal dan sistem penilaian ini dilancarkan oleh pihak KPM sebagai satu platform penilaian aktiviti jasmani, sukan dan kurikulum yang standard untuk semua sekolah rendah dan menengah. Sistem ini akan menyeragamkan merit pencapaian murid dengan lebih berkesan.

Pencapaian yang cemerlang dalam bidang atau aktiviti jasmani, sukan dan kurikulum ini pastinya memberikan peluang besar kepada murid-murid untuk ditempatkan di sekolah-sekolah khusus seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan lain-lain lagi.

Sekiranya guru-guru, murid atau ibu bapa ingin mengetahui lanjut mengenai sistem penilaian ini, bolehlah juga rujuk garis panduan khusus yang telah dikeluarkan oleh pihak KPM. Melalui garis panduan untuk sekolah rendah dan sekolah menengah ini, pastinya lebih banyak input akan diperolehi.

1. SEGAK

SEGAK adalah satu set Ujian Standard Kecergasan Fizikal untuk mengukur tahap kecergasan fizikal murid berasaskan kesihatan. Komponen kecergasan yang diukur dalam SEGAK terkandung dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Sekolah Rendah dan Menengah.

Ujian ini hendaklah ditadbir urus oleh Guru Pendidikan Jasmani dan dilaksanakan dalam bulan Mac dan Ogos. Sila rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.2/2016: Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah bertarikh 17 Februari 2016.

2. Kokurikulum

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mei 2005 telah memutuskan, setiap murid wajib mengikuti tiga aktiviti kokurikulum seperti berikut:

  1. Kelab/Persatuan
  2. Pasukan Badan Beruniform; dan
  3. Sukan/Permainan /1 Murid 1 Sukan

Mesyuarat juga menetapkan syarat merit 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Universiti Awam (UA). Bagi tujuan pentaksiran hanya dua markah tertinggi sahaja yang diambil kira daripada tiga aspek utama yang melibatkan enam (6) elemen.

Markah-markah akan diberikan meliputi tiga aspek utama berikut:

  1. Penglibatan;
  2. Penyertaan; dan
  3. Prestasi.

3. Ekstra Kurikulum

Ekstra kurikulum merupakan satu kegiatan sukarela yang bermanfaat pada atau di luar waktu persekolahan, ke arah pembentukan peribadi yang terpuji. Markah yang diperoleh daripada bidang ini akan dicampurkan dengan markah tertinggi purata 2 daripada 3 aktiviti kokurikulum sama ada Kelab/Persatuan, Pasukan Badan Beruniform atau Sukan/Permainan.

Hanya markah tertinggi sahaja yang diambil daripada salah satu enam (6) elemen seperti berikut:

  1. Perkhidmatan
  2. Anugerah Khas
  3. Khidmat Masyarakat
  4. Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam)
  5. TIMMS dan PISA
  6. Tugas-tugas Khas

Markah PAJSK Pelbagai Peringkat

Markah-markah atau skor ditentukan oleh pencapaian dalam SEGAK, Kokurikulum dan Ekstra Kurikulum. Murid perlu bergiat aktif dan memastikan penglibatan di peringkat yang tinggi, penyertaan dan prestasi yang boleh dibanggakan. Jawatan yang disandang juga akan memberikan merit yang berbeza.

Markah penglibatan dan penyertaan pastinya berbeza bagi setiap peringkat, sama ada sekolah, zon, daerah, negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa. Rujuk jadual yang berikut:-

PAJSK KPM Markah Koko Peringkat Kebangsaan Antarabangsa

Cara Login PAJSK KPM Online

  1. Guru kelas perlu berhubung dengan Guru Penolong Kanan Kokurikulum untuk mendapatkan ID dan Password bagi sekolah masing-masing.
  2. Semua guru di sesebuah sekolah akan berkongsi ID dan password yang sama.
  3. Layari pautan portal Portal Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum dan klik pilihan SEKOLAH
  4. Masukkan Id Kod Sekolah dan Kata Laluan untuk mengakses laman tersebut dan klik MASUK.
  5. Guru hanya boleh menambah, menyemak atau mengubah data pada tahun semasa sahaja.
Pengiktirafan program-program peringkat KEBANGSAAN dan ANTARABANGSA boleh dirujuk melalui pautan Semak pengiktirafan KPM.
Bagi pengiktirafan program peringkat NEGERI/DAERAH, boleh dirujuk melalui  Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.
Bagi sekolah swasta yang belum berdaftar dengan Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM) , mohon berhubung dengan Sektor Pengurusan Sekolah, Unit Swasta, Jabatan Pendidikan Negeri.

Sebarang aduan/pertanyaan berkenaan sistem boleh dipanjangkan ke [Emel Aduan].

Artikel Berkaitan:-

  1. Panduan Login APDM KPM – Kemaskini Data Kehadiran 2022/2023
  2. ANM Penyata Gaji Online 2022/2023
  3. Panduan Menggunakan DELIMa KPM 2023
  4. Login SMPK Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan
  5. Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)
  6. Rekod Salah Laku dan Amalan Baik Murid (SSDM)
  7. Cara Login APDM Ibu Bapa Online 2023
  8. Panduan Pengurusan Kenaikan Pangkat (ePANGKAT)
  9. Penilaian Prestasi Melalui PBPPP di Pangkalan ePRESTASI
  10. Vaksinasi dalam Aplikasi Pengkalan Data Murid

Yang banyak dikongsi, yang sedikit disyukuri

Ayuh sebar luas dan kongsikan bersama rakan-rakan melalui WhatsApp dan Telegram supaya lebih ramai menerima manfaat. Klik sahaja butang share untuk bantu sebarkan bahan ini.

🔴 WHATSAPP : @flipdotmy
🔴 FACEBOOK : @flipdotmy

🔵 TELEGRAM : @flipdotmy
🔵 INSTAGRAM : @flipdotmy

Sebarang masalah, aduan, keperluan dan apa juga perkara yang ingin dikongsikan bersama kami, guru-guru boleh hubungi melalui emel [email protected].

Leave a Comment

error: Content is protected !!