Takwim Persekolahan 2026 akan Bermula Januari

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk memulakan Takwim Persekolahan 2026 mulai Januari.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan telah memulakan usaha mengawal kalendar akademik bagi tahun akademik 2024/2025 bermula Februari 2025.

Jelasnya, berikutan penularan wabak COVID-19, Kementerian Pendidikan telah memutuskan untuk menukar kalendar akademik bagi tahun persekolahan 2021/2022.

“Berdasarkan perubahan tersebut, maka sesi persekolahan bagi kalendar akademik sesi 2023/2024 diteruskan bermula pada Mac 2023.

“KPM akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun.

“KPM juga telah melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.

“Untuk itu, Yang Berhormat, sukacita saya maklumkan KPM telah memulakan usaha dengan merancang untuk mengawalkan kalendar akademik persekolahan sesi 2024/2025 bermula pada bulan Februari 2025.

“Kalendar persekolahan dirancang dapat bermula pada bulan Januari ialah pada 2026,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Fadhlina (PH-Nibong Tebal) menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula awal Januari.

Leave a Comment

error: Content is protected !!