Bajet Pendidikan 2022 Diumumkan Oleh YB Tengku Zafrul

Guru-guru pastinya tidak sabar menanti pengumuman Bajet Pendidikan 2022 yang dibentangkan oleh YB Tengku Zafrul, Menteri Kewangan pada hari ini. Pihak kerajaan sedaya yang boleh merangka bajet yang inklusif dan peduli rakyat.

Lebih penting pada ketika ini adalah kerjasama antara kerajaan dan rakyat untuk memastikan kita semua dapat keluar daripada kepungan pandemik dengan selamat dan pulih semula seperti sedia kala.

Bantuan Awal Persekolahan

Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak 150 ringgit iaitu meningkat berbanding 100 ringgit sebelum ini. Sejumlah 450 juta ringgit diperuntukkan yang dijangka memanfaatkan 3 juta murid-murid yang layak.

Penyelenggaraan dan Pembaikan Sekolah

Dengan sekolah mula dibuka, suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak akan terus diberi perhatian. Pada tahun hadapan, sejumlah 1 bilion ringgit disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah.

Peruntukan ini juga termasuk 140 juta ringgit kepada JAKIM bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding 100 juta ringgit pada tahun 2021.

Tengku Zafrul Bajet Pendidikan 2022

Peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10 ribu sekolah di bawah Kementerian Pendidikan akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam. Bagi tahun 2022, sebanyak 120 juta ringgit disediakan untuk manfaat 1,800 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Di samping itu, pada tahun hadapan juga, Kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada 746 juta ringgit. Sebilangan besar peruntukan ini adalah untuk menaik taraf sekolah daif dengan 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

Pendidikan Khas

Bagi memperkasa agenda pendidikan khas, Kerajaan menyediakan 50 juta ringgit antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.

Selain itu, sebanyak lapan buah blok baharu pendidikan khas turut dibina, antaranya di SMK Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan SMK Agama Alor Gajah di Melaka.

Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

Bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, Kerajaan akan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukan 400 juta ringgit.

Sebahagian perolehan ini akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar (ABM)

Sewaktu pelaksanaan PdPR, para guru memainkan peranan mereka dalam memastikan setiap anak murid tidak tercicir daripada mendapat pendidikan formal.

Sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid-murid semasa tempoh pandemik, Bajet ini buat pertama kalinya menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak 100 ringgit kepada lebih 400 ribu guru sekolah di bawah KPM.

bajet pendidikan 2022

PerantiSiswa Keluarga Malaysia

Sepanjang tempoh pandemik, mahasiswa tetap meneruskan pengajian mereka dalam norma yang baharu. Bagi pelajar yang kurang mampu, mereka adakalanya perlu meminjam peranti kawan, atau terpaksa ke pusat internet di pekan, untuk membuat tugasan pengajian.

Malah, kadang-kadang ada juga antara mereka yang tidak dapat hadir ke kuliah online. Bagi memastikan proses pengajian para pelajar B40 terus terpelihara, Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 450 juta ringgit di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira 65 juta ringgit. Insya-Allah, seramai 600 ribu siswa-siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Pelepasan Cukai Peranti

Sebagai tambahan, Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.

Diskaun Bayaran Balik PTPTN

Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi mengurus pinjaman pendidikan yang disediakan sebagai kemudahan kepada pelajar institusi pengajian tinggi tempatan. Sebagai pinjaman, semestinya ia satu amanah yang wajib dibayar semula oleh peminjam.

Jika tidak, ia menafikan peluang anak-anak kita pada masa hadapan. Oleh itu, bagi memudahkan proses bayaran balik dan memupuk sikap bertanggungjawab, Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 seperti berikut:

  1. Pertama: Diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
  2. Kedua: Diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
  3. Ketiga: Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Latihan Teknikal dan Vokasional

Dalam RMK-12, Kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (atau TVET) sebagai salah satu pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri kita dengan lebih baik.

Bagi memperkasa bidang TVET, Kerajaan menyediakan 6.6 bilion ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan. Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa.

Sehubungan itu, peruntukan tambahan 200 juta ringgit disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri

Bantuan Khas Kewangan

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini, Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan.

Bantuan ini melibatkan 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak 700 ringgit dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak 350 ringgit dengan implikasi Kewangan sebanyak 1.3 bilion ringgit. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan
penuh dedikasi.

Yang banyak dikongsi, yang sedikit disyukuri

Ayuh sebar luas dan kongsikan bersama rakan-rakan melalui WhatsApp dan Telegram supaya lebih ramai menerima manfaat. Klik sahaja butang share untuk bantu sebarkan bahan ini.

🔴 WHATSAPP : @flipdotmy
🔴 FACEBOOK : @flipdotmy

🔵 TELEGRAM : @flipdotmy
🔵 INSTAGRAM : @flipdotmy

Sebarang masalah, aduan, keperluan dan apa juga perkara yang ingin dikongsikan bersama kami, guru-guru boleh hubungi melalui emel [email protected].

2 thoughts on “Bajet Pendidikan 2022 Diumumkan Oleh YB Tengku Zafrul”

  1. Tahniah atas pembentangan Bajet 2022 . Cadangan saya,Bantuan Awal Persekolahan itu diberikan kepada semua murid sekolah tanpa mengira siapa mereka.Memandangkan sepanjang pandemik mereka sangat teruji dengan kelas Pdpr dan pertandingan dalam talian.Mereka ada daripada kalangan anak M40 tetapi yatim,anak guru ,anak guru (ibu tunggal),sakit dan sebagainya.Mereka yang tidak pernah mendapat apa-apa bantuan sepanjang pembelajaran mereka. Pemberian ini dapat mengubat perasaan , berkongsi keseronokan seperti rakan mereka yang lain.

    Reply

Leave a Comment

error: Content is protected !!