Musim permohonan ke sekolah khusus ini, FLIP.MY kongsikan perincian pelaporan PBD Matematik untuk rujukan murid-murid dan juga ibu bapa. Sejak Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), pelaporan PBD Tahun 6 (Khususnya) ini amatlah penting.
Apa itu PBD? Maksud PBD ialah Pentaksiran Bilik Darjah. Pentaksiran atau penilaian ini dilaksanakan secara berterusan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung untuk catatan perkembangan, kemajuan, kebolehan, dan pencapaian murid.
Melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), dan panduan daripada Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK), murid-murid akan dinilai sepanjang tahun. Perkembangan dan pencapaian murid dalam satu-satu mata pelajaran akan direkodkan oleh guru mata pelajaran menggunakan borang transit.
Maka, murid-murid perlu memastikan segala tugasan dan tanggungjawab memberikan respons terbaik dapat diberikan dengan konsisten. Penguasaaan yang cemerlang dan konsisten akan menjadi faktor utama pencapaian Tahap Penguasaan (TP) yang terbaik.
Perincian Tahap Penguasaan dalam PBD Matematik
Pentaksiran ini adalah melibatkan murid tahun 1 sehinggalah tingkatan 5. Semakan PBD boleh dibuat melalui pihak sekolah. Guru-guru subjek akan membuat pertimbangan profesional dan pelaporan pentaksiran ini sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh masa setahun.
Berikut merupakan kepentingan PBD
- Mengesan kemajuan dan perkembangan murid secara holistik
- Mengenal pasti kekuatan dan juga kelemahan murid dalam tempoh pembelajaran
- Melihat sejauh mana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
- Membuat perancangan dan mengubah suai kaedah pengajaran
- Melaksanakan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta
Tafsiran Tahap Pencapaian (TP) Secara Umum
Tafsiran Tahap penguasaan: TP 1
Murid tahu perkara asas atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi respons terhadap perkara yang asas.
Tafsiran Tahap penguasaan: TP 2
Murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari.
Tafsiran Tahap penguasaan: TP 3
Murid menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi.
Tafsiran Tahap penguasaan: TP 4
Murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab iaitu mengikut prosedur atau secara sistematik.
Tafsiran Tahap penguasaan: TP 5
Murid melaksanakan sesuatu kemahiran pada situasi baharu dengan mengikut prosedur atau secara sistematik serta tekal dan bersikap positif.
Tafsiran Tahap penguasaan: TP 6
Murid berupaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada untuk digunakan pada situasi baharu secara sistematik, bersikap positif, kreatif dan inovatif serta boleh dicontohi.
Perincian Tahap Penguasaan Mata Pelajaran
Ciri Utama dalam PBD Matematik
Antara kaedah pentaksiran yang digunakan adalah secara pemerhatian, penulisan dan lisan. Evidens atau bukti perkembangan murid perlu direkodkan sama ada melalui tugasan kerja projek, latihan atau kuiz, penglibatan dalam pembentangan, latihan amali dan aktiviti-aktiviti pembelajaran lain, berteraskan Standard Prestasi dan juga pertimbangan profesional guru.
Pemantauan Kualiti PBD Matematik
Pelaporan yang dibuat oleh guru-guru subjek bukan sahaja tersimpan di sekolah. Malah, laporan tahap penguasaan murid bagi setiap murid ini perlu dibawa ke Pejabat Pendidikan Daerah dan juga Jabatan Pendidikan Negeri untuk dibincangkan. Pelbagai intervensi akan disarankan untuk membantu kemajuan murid.
Pentadbir sekolah bertanggungjawab untuk menjalankan penyeliaan, manakala guru dari semua panitia mata pelajaran akan sentiasa membincangkan dan menyelaras instrumen pentaksiran yang bersesuaian. Guru dalam panitia yang sama juga sentiasa membuat moderasi dalam pelaksanaaan pertimbangan professional terhadap murid.
Jawatankuasa pemantauan kualiti akan dibentuk oleh pihak sekolah untuk memastikan keputusan yang diterima adalah telus dan saksama. Kebiasaannya, jawatankuasa ini dianggotai oleh:
- Pengetua/Guru Besar
- Penolong Kanan Pentadbiran
- Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
- Penolong Kanan KoKurikulum
- Penolong Kanan Petang
- Penolong Kanan Pendidikan Khas
- Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Bidang
- Ketua Panitia
- Guru Cemerlang
- Jurulatih Utama
- Mana-mana guru yang dilantik oleh Pengetua/Guru Besar/JK PBS
Yang banyak dikongsi, yang sedikit disyukuri
Ayuh sebar luas dan kongsikan bersama rakan-rakan melalui WhatsApp dan Telegram supaya lebih ramai menerima manfaat. Klik sahaja butang share untuk bantu sebarkan bahan ini.
🔴 WHATSAPP : @flipdotmy
🔴 FACEBOOK : @flipdotmy
🔵 TELEGRAM : @flipdotmy
🔵 INSTAGRAM : @flipdotmy
Sebarang masalah, aduan, keperluan dan apa juga perkara yang ingin dikongsikan bersama kami, guru-guru boleh hubungi melalui emel [email protected].