Biodata Ismail Sabri: Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9

FLIP.MY kongsikan biodata atau profil ini sempena pelantikan yang telah diumumkan rasmi Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9. Dengan menerima pencalonan dari 114 ahli Dewan Rakyar, maka sudah cukup untuk membentuk kerajaan baharu setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 16 Ogos yang lalu.

Perkara ini telah disampaikan oleh Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin yang merupakan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dalam kenyataan yang dirakamkan oleh pihak Utusan Malaysia.

Pelantikan ini juga telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

ismail sabri perdana menteri ke-9

Biodata Ismail Sabri: Perdana Menteri Malaysia Ke-9

Anak kelahiran Temerloh Pahang ini telah lahir pada tanggal 18 Januari 1960, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya pada tahun 1980. Pada tahun 1980, beliau telah memulakan karier sebagai seorang peguam sebelum menyertai bidang politik pada tahun 1987.

Latar Belakang Pendidikan

  • Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya pada tahun 1980.
  • Tingkatan 6 di Jaya Akademik
  • Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976)
  • Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973)
  • Sekolah Kebangsaan Bangau, Pahang (1967)

Butiran Ringkas Keluarga

  • Mendirikan rumah tangga pada tahun 1986 bersama pilihan hati, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin.
  • Dikurniakan empat cahaya mata; seorang anak perempuan dan tiga orang anak lelaki iaitu Nina Sabrina, Dafi, Nashriq dan Iqbal.

Kerjaya/Perkhidmatan

  • 1985 – Peguam
  • 1995 – 1999 – Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
  • 2008 – 2009 – Menteri Belia dan Sukan
  • 9 April 2009 – 2013 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
  • 2013 – 2015 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
  • 2015 – 2018 – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
  • 12 Mac 2020 – Menteri Kanan (Menteri Pertahanan), (Kluster Keselamatan)
  • 7 Julai 2021 – Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Aktiviti/Kegiatan Luar/Lantikan Lembaga Pengarah

  • 1987 – Ahli Majlis Daerah Temerloh
  • 1996 – Ahli Majlis Perbandaran Temerloh
  • 1995 – Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara (DARA) & Ahli Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
  • 1996 – Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil

Keterlibatan Politik

  • 1987 – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh
  • 1988 – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh
  • 1993 – Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian
  • 2001 – Timbalan Ketua Bahagian
  • 2004 – Ketua UMNO Bahagian Temerloh & Ahli Parlimen Bera, Pahang

Anugerah

  • Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) – Datuk (2004)
  • Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) – Datuk Seri (2020)
  • Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) – Dato’ (2005)
  • Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato’ Sri (2008)
  • Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) – Datuk Seri Panglima (2020)
ismail sabri yaakob perdana menteri ke 9

Kenyataan Penuh Pelantikan Perdana Menteri Malaysia Ke-9

ADALAH dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Pada sesi Perbincangan Khas ini, yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Yang Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin pada 16 Ogos 2021 lalu.

Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration).

Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat-surat akuan tersebut adalah dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.

Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan. Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.

Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajardibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara

Yang banyak dikongsi, yang sedikit disyukuri

Ayuh sebar luas dan kongsikan bersama rakan-rakan melalui WhatsApp dan Telegram supaya lebih ramai menerima manfaat. Klik sahaja butang share untuk bantu sebarkan bahan ini.

🔴 WHATSAPP : @flipdotmy
🔴 FACEBOOK : @flipdotmy

🔵 TELEGRAM : @flipdotmy
🔵 INSTAGRAM : @flipdotmy

Sebarang masalah, aduan, keperluan dan apa juga perkara yang ingin dikongsikan bersama kami, guru-guru boleh hubungi melalui emel [email protected].

Leave a Comment

error: Content is protected !!