Maksud dan Perbezaan Objektif Pembelajaran dan Kriteria Kejayaan

FLIP.MY kongsikan perbezaan dan maksud objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan untuk membantu melancarkan perancangan dan penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru-guru.

Pasti ramai guru-guru yang telah merangka dan mencatat objektif pembelajaran bersama kriteria kejayaan dalam RPH melalui Program Sekolah Amanah (SA) atau program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Learning Objective and Success Criteria ini adalah pendahuluan kepada setiap sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). Mungkin ada sebilangan guru yang masih keliru seterusnya menganggap bahawa dua elemen berikut merupakan set induksi.

Tidak. Set induksi merupakan satu aktiviti yang diwujudkan untuk merangsang minat murid dan memupuk sifat ingin tahu (inkuiri). Kebiasaannya PdPc bermula daripada set induktif, selepas itu barulah diperkenalkan Learning Objective and Success Criteria ini.

Maksud Objektif Pembelajaran dan Kriteria Kejayaan

Objektif pembelajran ialah pernyataan yang menerangkan matlamat yang ingin atau perlu dikuasai oleh murid-murid pada akhir sesi PdPc mereka.

Kemahiran apa yang perlu dikuasai? Topik mana yang perlu dihadam? melalui bahan atau kaedah yang bagaimana? Berapa banyak soalan atau latihan yang akan diukur? Persoalan inilah yang akan membantu guru merangka matlamat pembelajaran dengan baik.

Kriteria kejayaan pula merupakan unit-unit kecil yang diperincikan daripada objektif pembelajaran tadi. Melalui perincian ini, guru perlu mencatatkan bagaimanakah cara atau situasi yang menandakan bahawa murid itu menguasai objektif pembelajaran yang ditetapkan.

Kriteria kejayaan (KK) ini boleh disediakan lebih daripada dua. Sebaiknya, kriteria yang disusun adalah daripada mudah kepada yang lebih mencabar. Contohnya:

  • KK 1: keseluruhan murid boleh capai.
  • KK 2: sebahagian murid boleh capai.
  • KK 3: sebilangan murid boleh capai.

Penetapan seperti ini bukanlah satu kemestian namun pastinya dapat meransang murid untuk belajar dengan lebih tekun untuk menghadapi cabaran yang ada dalam situasi yang menyeronokkan.

objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan

Contoh penulisan kriteria kejayaan dalam RPH

Objektif pembelajaran:
5.2.3 Menggunakan kata majmuk yang telah mantap dengan betul.

Kriteria Kejayaan: Murid dapat:-

  1. Menyenaraikan sekurang-kurangnya 20 contoh kata majmuk yang telah mantap dengan betul.
  2. Mengisi sekurang-kurangnya 5 tempat kosong menggunakan kata majmuk yang telah mantap dengan betul.
  3. Membina sekurang-kurangnya 5 ayat menggunakan kata majmuk yang telah mantap dengan betul.

Oleh itu, jelas kita dapat lihat bahawa penyediaan objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan dapat membantu guru membina aktiviti yang sesuai untuk memastikan aktiviti pembelajaran tersusun.

Selain itu juga, guru boleh melihat sebahagian kecil daripada aktiviti dan memasukkan pembelajaran terbeza (differentiation) apabila perlu. Dengan adanya elemen kriteria kejayaan, lebih mudah untuk guru menilai dan membuat refleksi pada akhir sesi.

Hal ini kerana guru-guru dapat melihat pencapaian khusus setiap murid. Bukan itu sahaja, murid-murid juga dapat membuat penilaian kendiri berkaitan penguasaan atau pengcapaian mereka setiap kali berlangsungnya sesi PdPc.

Yang banyak dikongsi, yang sedikit disyukuri

Ayuh sebar luas dan kongsikan bersama rakan-rakan melalui WhatsApp dan Telegram supaya lebih ramai menerima manfaat. Klik sahaja butang share untuk bantu sebarkan bahan ini.

🔴 WHATSAPP : @flipdotmy
🔴 FACEBOOK : @flipdotmy

🔵 TELEGRAM : @flipdotmy
🔵 INSTAGRAM : @flipdotmy

Sebarang masalah, aduan, keperluan dan apa juga perkara yang ingin dikongsikan bersama kami, guru-guru boleh hubungi melalui emel [email protected].

Leave a Comment

error: Content is protected !!